Ahad, 29 November 2009

28 November 2009 - Ibadah Korban 1430 Hijrah


Tahun ini saya menyambut Hari Raya Haji/Korban/AidilAdha di Hulu Langat. Di Malaysia, Aidiladha disambut pada hari Jumaat iaitu 27 Nov manakala mengikut kebiasaan di Mekah, Aidiladha disambut awal sehari. Memandangkan Aidiladha jatuh pada hari Jumaat, maka ibadah korban kebanyakkannya dilakukan pada hari Sabtu untuk memberi ruang masa yang lebih kerana hari Jumaat masih perlu untuk menunaikan Solat Jumaat.

Kami, PPTLC adalah kariah bagi Madrasah Muizzah, Bukit Raya. Ibadah korban diuruskan oleh jawatankuasa madrasah. Tahun ini sebanyak 9 ekor lembu telah dijadikan korban dan dibahagi-bahagikan kepada kariah Madrasah Muizzah dan penduduk sekitar Bukit Raya.

Aktiviti dimulakan seawal 8 pagi Sabtu ke tempat lembu-lembu korban di letakkan. Persiapan seperti tali, mengorek lubang dan mencari kayu mengambil masa lebih kurang sejam. Secara keseluruhannya penyembelihan dan melapah mengambil masa lebih kurang 2 jam lebih.

Bahagian lembu yang telah siap dilapah dibawa ke Madrasah Muizzah untuk diasingkan daging dan tulang kemudiannya dibahagikan kepada bahagian-bahagian kecil untuk diagih-agihkan kepada penduduk setempat.





Pihak madrasah turut menyediakan makanan dan minuman untuk kariah yang terlibat dengan ibadah korban. Wakil wanita PPTLC yang diketuai oleh Mak Ngah pula telah memasak sebahagian daging dan tulang untuk makanan tengah hari. Masakan yang disediakan adalah sup tulang dan asam pedas daging.

Ibadah korban tahun ini selesai lebih kurang pada pukul 3 petang selepas membersihkan madrasah. Diharap ibadah korban ini akan memberikan iktibar kepada kariah Madrasah Muizzah masih banyak pengorbanan perlu dilakukan untuk agama, bangsa dan negara.

Takbir.





Rabu, 11 November 2009

11 November 2009 - Bantahan Pasang Kabel Bervoltan Tinggi



ada satu lagi review ahad lepas dalam Mingguan Metro, lupa nak ambik gambar. Tapi artikelnye ada kat bawah nie :
--------------------------------------------------------

Pencawang dekat rumah

Oleh MUHD IZAWAN BAHARIN
izawan@hmetro.com.my


KAJANG: Taklimat Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada penduduk Taman Langat Ceria (TLC) untuk menjelaskan mengenai pembinaan pencawang elektrik bervoltan tinggi berhampiran kawasan perumahan itu di Dewan Dato' Nazir Ulu Langat, di sini, semalam, bertukar menjadi sesi luahan tidak puas hati orang ramai.

Penduduk tidak puas hati kerana pembinaan pencawang terlalu hampir dengan rumah, iaitu pada jarak 43 meter yang boleh memberi kesan jangka panjang terhadap keselamatan serta keselesaan mereka.

Mereka juga tidak berpuas hati kerana tidak dimaklumkan terlebih dulu daripada mana-mana pihak, termasuk pemaju dan TNB mengenai projek pembinaan itu sebelum menduduki kediaman yang berharga antara RM260,000 hingga RM650,000.

Setiausaha Persatuan Penduduk TLC, Shahrizan Muhamad Kasim, 37, berkata mereka hanya menyedari mengenai projek itu selepas mengambil inisiatif sendiri bertanya kepada pekerja di situ.

“Sejak awal tahun lalu, kami dapati kawasan bersebelahan taman yang terletak kira-kira 200 meter dari sebuah sekolah berhampiran dibersihkan. Kami tertanya-tanya untuk apa sehinggalah diberitahu pekerja di situ, mereka mahu membina pencawang elektrik,” katanya yang ditemui, semalam.

Menurutnya, penduduk kemudian menghantar surat pada 1 Mei lalu memohon penjelasan TNB dan menerima jawapan hujung bulan itu seterusnya sesi taklimat semalam.

“Sesi taklimat ini bagaimanapun gagal memuaskan hati penduduk yang mahu pencawang itu dianjakkan jauh sedikit atau memasang kabel bawah tanah kerana ia terlalu hampir dengan kawasan perumahan,” katanya.

Disebabkan tidak berpuas hati dengan penjelasan TNB melalui taklimat itu, Shahrizan berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

“Dalam pertemuan tadi, TNB berjanji akan membawa isu ini ke pengetahuan pihak atasan mereka, jadi kami akan lihat keputusannya sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Penduduk, Azhari Yaacob, 39, berkata penduduk bukan menentang pembangunan tetapi mempersoalkan kenapa ia dibina terlalu dekat dengan kediaman.

“Saya membeli rumah di sini kerana mahu lari dari kesibukan kota tetapi malangnya keselesaan dan keselamatan yang saya impikan untuk keluarga diancam dengan pembinaan pencawang terlalu hampir dengan kediaman.

“Mereka membina terlebih dulu sebelum memberitahu kami, kenapa mereka tidak mengadakan perbincangan sebelum memulakan projek itu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Basri Ahmad, 37, berkata dia amat kecewa kerana ketika sesi taklimat itu dilakukan, kerja pembinaan turut berjalan pada masa sama.

“Buat apa kami berdebat di sini, sedangkan di tapak berkenaan kerja pembinaan giat dilakukan. Mereka sepatutnya menghentikannya buat sementara waktu,” katanya.

Sementara itu, seorang wakil TNB ketika memberi penjelasan kepada penduduk dalam sesi taklimat itu, berkata pembinaan pencawang itu menepati kehendak spesifikasi jarak yang selamat.

“Talian penghantaran ini terpaksa melalui kawasan perumahan kerana ia akan disambungkan kepada pencawang besar di Salak Selatan terus ke Taman Mahkota Cheras dan disambung ke Dengkil,” katanya.

Isnin, 2 November 2009

31 Oktober 2009 - High Tension Cable TNB

Taman Langat Ceria akan diceriakan lagi dengan tiang-tiang dan high tension cable yang akan disumbangkan oleh pihak TNB tidak lama lagi.

Ini bukan perkara yang baik untuk penduduk TLC walaupun tuan TNB membina tower dan high tension cable adalah untuk kebaikan seluruh penduduk lembah kelang. Untuk penjelasan lanjut apa dia high tension cable dan kesannya kepada hidupan yang hampir dengan kawasannya boleh la dicari menguna enjin carian Google atau kalau mahukan jawapan yang lebih spesifik untuk TNB boleh la gunakan kata kunci seperti "high tension cable tnb".

Pihak PPTLC telah mengambil langkah awal, seawal pengetahuan kami mengenai kewujudan projek ini. PPTLC telah menghantar surat kepada TNB untuk memohon penjelasan dan salinannya kepada jabatan lain seperti jabatan alam sekitar, pejabat menteri berkaitan dan juga kepada wakil rakyat dan pemimpin tempatan. Pihak TNB telah membalas surat tersebut dengan beberapa penerangan umum dan beberapa cadangan kepada PPTLC.

Hasilnya, satu majlis soal jawab bersama TNB akan diadakan pada 7 November 2009 bertempat di Dewan Orang Ramai Batu 14. Kepada warga TLC yang berkelapangan dijemput untuk bersama-sama ke majlis tersebut. Berikut adalah gambar kawasan dan kerja-kerja yang sedang dijalankan.



Berikut pula adalah gambar tambahan menunjukkan kawasan bagi projek Penyaluran Air Mentah Pahang Selangor (PPAMPS).

Sabtu, 17 Oktober 2009

Selasa, 15 September 2009

15 Septembar 2009 : Majlis Sambutan Hari Raya PPTLC - Terkini

Atas beberapa masalah teknikal, majlis sambutan yang dirancang untuk diadakan pada 10 Oktober 2009 terpaksa dipinda ke tarikh 17 Oktober 2009. Lain-lain perancangan masih dikekalkan.

Harap Maklum

Rabu, 9 September 2009

6 September 2009 : Mesyuarat Sambutan Hari Raya 2009

Mesyuarat ini adalah lanjutan kepada cadangan untuk mengadakan majlis sambutan hari raya ataupun openhouse PPTLC. Mesyuarat dihadiri oleh hampir semua warga TLC yang muslim.

Mesyuarat dimulakan pada 10 pagi oleh setiausaha PPTLC, En. Shah. Beliau telah membuka mesyuarat kepada semua untuk mencadangkan dan membincangkan agenda, jawatankuasa, tetamu dan makanan bagi sambutan hari raya yang akan diadakan.

Secara kesimpulannya mesyuarat telah bersetuju untuk mengadakan majlis sambutan hari raya pada 10 Oktober 2009 selepas maghrib. Beberapa AJK telah dibentuk seperti AJK penyediaan makanan, keselamatan dan kebersihan, pengurusan tetamu dan peralatan majlis.

Mesyuarat juga bersetuju untuk membuat kutipan sebanyak RM 50 bagi setiap rumah untuk menampung perbelanjaan majlis. Manakala menu utama juga telah ditetapkan (tak perlu saya nyatakan disini) disamping potluck dari individu-individu yang ingin menyumbangkan makanan.

Tetamu pula adalah warga TLC yang bukan muslim, qariah Madrasatul Muizzah, wakil persatuan taman-taman berhampiran TLC, pemimpin kawasan Hulu Langat, AJK Masjid Sg. Serai dan beberapa lagi kumpulan dan individu yang akan ditetapkan kemudian.

Diharap majlis ini dapat dijalankan dengan sempurna dan dapat mengeratkan lagi warga TLC dengan penduduk setempat dan jiran-jiran yang berhampiran dengan TLC.

Ahad, 16 Ogos 2009

16 Ogos 2009 - Aktiviti Panjat Bukit

Selepas kekenyangan makan di 2 buah kenduri hari ini, En. Azahari telah mencadangkan untuk mengadakan aktiviti memanjat bukit berhampiran dengan TLC. Cadangan ini telah disambut oleh 4 orang lagi warga TLC. Aktiviti panjat bukit ini biasa dilakukan oleh warga TLC dan juga beberapa kumpulan lain di daerah Hulu Langat. Tapi ini pengalaman pertama saya setelah beberapa kali tidak dapat ikut sama.

Aktiviti dimulakan pukul 5 petang di pondok keselamatan. Warga yang menyertai aktiviti adalah :

- En. Azahari
- En. Hashim
- En. Zakuan
- En. Taman
- En. Fakhrun

Aktiviti dimulakan dengan merentasi sungai langat (guna jambatan daa..)
perjalanan ke puncak bukit akan melalui beberapa buah dusun buah-buahan, ladang kambing, kebun sayur dan sedikit kawasan hutan. Jarak dari TLC ke puncak bukit lebih kurang 2.3 ke 3 km. Mengambil masa 30 ke 40 minit mendaki bukit.

Hentian pertama adalah di pondok kebun sayur. Pondok ini adalah kepunyaan sepasanga suami isteri Indonesia yang berkerja di kebun sayur di sini. Beberapa gambar kenang-kenangan telah di ambil :

Gambar tadi menunjuk permandangan dari atas bukit dan juga TLC.

Dari pondok tadi perjalanan diteruskan ke puncak bukit oleh Azhari, Hashim dan Zakuan. Fakhrun dan En. Tamam tidak mengambil risiko kepenatan kerana esok adalah hari berkerja.

Di pondok tersebut, pekerja Indonesia atau dikenali sebagai Wak telah menyediakan teh O untuk kami. Beliau juga telah menyumbang (memang sumbang) beberapa lagu untuk menghiburkan kami disitu sementara menunggu 3 orang lagi rakan mendaki ke puncak bukit.


lebih kurang 45 minit, kumpulan pendaki sampai semula ke pondok bersama-sama 2 batang pokok tongkat ali (patut la lama). Setelah meneguk air untuk menghilangkan lelah, Kami turun semua memandangkan sudah hampir pukul 7 petang.

Kami tiba semula di TLC lebih kurang 4 minit sebelum azan Maghrib. Mungkin inilah aktiviti luar terakhir sebelum Ramadhan tiba.

Ada sikit lagi lagu sumbang :

16 Ogos 2009 - Persediaan Ramadhan

Seperti biasa bila ada majlis-majlis yang menghimpunkan warga TLC, berbincangan untuk aktiviti-aktiviti bagi memeriahkan dan menaktifkan TLC adalah antara perkara-perkara yang menjadi tajuk perbualan warga TLC.

Semasa kenduri dia rumah En.Halim, En. Shah dan En. Zainuddin beberapa idea telah dibincangkan untuk dilaksanakan di dalam bulan Ramadhan yang akan tiba dalam masa seminggu lagi. Antara cadangan yang telah hangat dibincangkan adalah

- Moreh di surai dan masjid berhampiran yang akan disumbangkan oleh PPTLC.
- Gotong royong memasak dodol sempena menyambut Aidilfitri.

Namun cadangan di atas masih lagi di peringkat perbincangan. Kata putus belum lagi diambil. Diharap perkara yang baik dapat dijalankan dan diberikan sambutan.

Selamat menyambut Ramadhan 1430 Hijrah kepada semua warga TLC yang beragama Islam.

Salam.

15/16 Ogos 2009 - Kenduri kendara

Pada 15 dan 16 Ogos sebanyak 3 buah kenduri kesyurukan/tahlil/menyambut Ramadhan telah diadakan oleh warga-warga TLC. Berikut adalah kenduri yang telah diadakan :

- 15 Ogos (malam selepas Isyak) - Rumah En. Halim
- 16 Ogos (tengah hari) - Rumah En. Shah
- 16 Ogos (selepas Zohor) - Rumah En. Zainuddin.

Di harap majlis-majlis sebegini dapat mengeratkan lagi silatulrahim PPTLC.

11 Julai 2009 : Mesyuarat dengan wakil projek PPAMPS

AJK PPTLC telah menghadiri taklimat projek Penyaluran Air Mentah Pahang Selangor (PPAMPS) oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Projek ini adalah satu inisiatif kerajaan untuk persediaan masalah kekurangan air mentah di Lembah Klang.

Projek ini dijangka siap pada 2014 dan dilaksanakan oleh gabungan 4 buah syarikat (UEM, Japan, tak ingat lagi 2 syarikat). Air mentah akan diambil dari sumber air di Karak dan akan disalurkan terus ke Selangor iaitu ke berhampiran bukit di Taman Perkasa, Hulu Langat. Saluran air akan terletak dibawah tanah dengan kedalaman antara 200 meter hingga 1.25 km.

Tapi yang penting sebenarnya pada tarikh tersebut, AJK PPTLC mengadakan perbincangan dengan wakil PPAMPS untuk menyelaraskan dan menyuarakan kebimbangan warga PPTLC. Ini penting kerana kumpulan projek PPAMPS telah menyewa kedai di TLC sebagai pejabat tapak mereka dan banyak kenderaan projek akan keluar masuk di TLC.

Antara perkara yang dibincangkan adalah
- halaju kenderaan di dalam taman
- tindakan kepada pekerja PPAMPS sekiranya ada yang memandu dalam keadaan bahaya.
- waktu keluar masuk TLC
- bantuan untuk membina bonggol keselamatan.

Hasilnya beberapa keputusan telah dibuat dan insyaALLAH akan dilaksanakan untuk keselamatan dan kesejahteraan warga TLC.


5 julai 2009 - Majlis Perkahwinan di Rumah Abg Rahman

Pada 5 julai 2009 lepas, Keluarga Abg Rahman telah mengadakan majlis perkahwinan anak beliau di Taman Langat Ceria. Semua warga TLC telah dijemput ke majlis tersebut. AJK PPTLC juga telah terlibat secara tak langsung untuk memeriahkan lagi majlis.

Kami warga TLC mendoakan agar pasangan pengantin hidup bahagia, bertambah rezeki dan kekal bersama sehingga akhir hayat.

Berikut adalah beberapa gambar yang telah berjaya ditangkap untuk kenangan.

Jumaat, 20 Mac 2009

Notis 2 - Kutipan Bayaran Kawalan Keselamatan

Tarikh: 14 Disember 2008


Penduduk

Taman Langat Ceria

43100 Hulu Langat

Selangor

Tuan/Puan Yang Dihormati,


PEMBERITAHUAN


Bagi pihak Persatuan Penduduk Taman Langat Ceria, adalah ingin dimaklumkan bahawa bayaran bulanan sebanyak RM100 oleh setiap unit rumah seperti yang telah dipersetujui dalam mesyuarat yang lalu hendaklah dijelaskan sebelum 7 haribulan pada setiap bulan.


Tujuan bayaran ini adalah untuk pembayaran kepada syarikat Perkhidmatan Kawalan Sekuriti 24 Jam.

Pembayaran boleh dibuat kepada wakil-wakil jalan seperti berikut


1. Hashim

2. Zakuan

3. Awal


Kelewatan pihak tuan/puan membuat pembayaran bulanan akan menyebabkan pembayaran kepada syarikat kawalan keselamatan akan terjejas.


Semoga dengan kerjasama tuan/puan dapat melancarkan lagi pergerakan persatuan demi kebaikan kita bersama.


Sekian Terima Kasih



Yang Benar,





………………………………………………

( En. Husin bin Mohd Yunos)


Yang Dipertua

Jawatankuasa Penaja, Taman Langat Ceria, Hulu Langat, Selangor

Khamis, 19 Mac 2009

Notis 1 - Pelekat Kereta

Tarikh: 5 Mac 2009


Semua Penduduk

Taman Langat Ceria

43100 Hulu Langat

Selangor


Tuan-tuan/Puan-puan Yang Dihormati,


PELEKAT KENDERAAN


Adalah ingin dimaklumkan bahawa pelekat kenderaan hendaklah dilekatkan pada setiap kenderaan yang dimiliki oleh penghuni Taman Langat Ceria pada setiap masa. Ini bertujuan untuk membantu pihak sekuriti mengenalpasti kenderaan yang dimiliki oleh penduduk dan juga memantau kenderaan-kenderaan luar yang masuk ke kawasan taman.


Oleh yang demikian, semua penduduk adalah disarankan untuk mendapatkan pelekat kenderaan masing-masing. Bayaran sebanyak RM10 akan dikenakan kepada setiap kenderaan tambahan untuk tujuan menampung kos.


Pelekat kenderaan boleh didapati melalui wakil-wakil jalan


1. Hashim

2. Zakuan

3. Awal


Sekian Terima Kasih



Yang benar,





………………………………………………

( Shahrizal Muhamad Kasim)


s.k. Yang Dipertua

13 Mac 2009 - Banjir terburuk dalam masa 15 tahun di Hulu Langat

Pada 13 Mac lepas, penduduk Hulu Langat telah dikejutkan dengan bencana alam banjir. Walaupun banjir kilat sering berlaku di Langat terutama dikawasan sekitar Sg. Serai, tapi banjir kali ini adalah yang terburuk sejak 15 tahun lepas.

Kawasan seperti Sg. Serai, Bt.12, Sg Congkak dan Lubuk Kelubi telah dinaiki air sehingga 1.5 meter. Banjir dikatakan berpunca dari hujan yang turun tidak berhenti selama 5 jam. Banyak harta benda, perniagaan, kenderaan dan tanaman rosak dan musnah. Lalulintas juga turut tergangu dimana hanya kenderaan berat sahaja yang dibenarkan lalu ditempat yang dilanda banjir.

Namun, tindakan segera dari pihak berkuasa seperti JPA3, bomba dan MPKJ telah mengurangkan masalah yang mungkin timbul.

Diharap penduduk Hulu Langat dapat menbersihkan kawasan yang terkena banjir sebaik mungkin bagi mengelakkan berlakunya jangkitan penyakit.

Bagi TLC, kesan banjir ini dapat dilihat dengan jelas pada kolam takungan air sementara dihadapan Jalan 1. Buat masa ini kolam tersebut berjaya mengawal pengaliran air keluar dari TLC.

Namun diingatkan kepada semua penduduk TLC agar menjaga longkang dan saliran air di sekitar mereka. Elakkan membuang sampah, kayu dan batu ke dalam longkang.

p/s : nasib baik pokok durian aku tak tenggelam. kalau tenggelam, punah la harapan nak makan durian lagi 6 tahun.

Gambar dibawah nie telah di ciluk dari blog dan website lain untuk rujukan saja:


Mesyuarat AJK PPTLC v3

Mesyuarat AJK PPTLC telah diadakan pada 4 Mac 2009 di Bilik VIP, Restoran D'Jaz. Mesyuarat ini dimulakan pada 9:30 malam dan dihadiri oleh hampir semua AJK. Setiausah PPTLC telah menjadi pengerusi untuk mesyuarat kali ini

Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan seterusnya mengesahkan minit mesyuarat lepas dan semua yang hadih telah mengesahkan minit mesyuarat tersebut.

Mesyuarat diteruskan dengan membincangkan perkara-perkara berbangkit mengenai TLC. Antara perkara yang dibincangkan adalah

1. menyuarat tahunan PPTLC
2. kutipan bayaran bulanan untuk kawalan keselamatan
3. blog dan website PPTLC
4. penyengaraan pagar, longkang dan lalulintas dia TLC
5. pemakluman mengenai aktiviti kepada penduduk TLC.

Dan beberapa perkara lain.

Selepas bermesyuarat, AJK telah dijamu dengan sedikit makanan ringan. Berikut adalah beberapa gambar yang sempat diambil:

Ahad, 1 Februari 2009

Penambahbaikan Online Komuniti PPTLC

Atas alasan sibuk dan tanggungjawab kepada tugas2 hakiki saya tidak dapat mengemaskini perkembangan terkini di Taman Langat Ceria akhir-akhir ini.

Buat masa ini beberapa inisiatif sedang dilakukan untuk menambahbaik fungsi-fungsi komuniti online PPTLC. Penambahbaikan ini adalah hasil cadangan dan sumbangan dari En. Aidil. Beliau dengan berbesar hati telah mendaftarkan satu hosting dan domain untuk Persatuan Penduduk Taman Langat Ceria.

Domain yang telah didaftar adalah http://www.tamanlangatceria.com

Buat masa ini beliau telah memasang satu aplikasi komuniti online pada hosting yang didaftarkan bersama domain tadi. Aplikasi tadi mempunyai fungsi seperti dibawah

1. Berita / News
2. Album Gambar / Photo Gallery
3. Blog.
4. Email

Kami bercadang untuk memberi akses kepada seluruh penduduk Taman Langat Ceria tidak kira ibu, bapa, anak dan ahli keluarga. Semua yang mempunyai akses akan dibenarkan untuk mengunakan fungsi-fungsi yang dinyatakan tadi.

Jadi saya dan Aidil memohon pandangan dan cadangan dari warga Taman Langat Ceria bagi menambahbaik laman komuniti ini. Diharap kami dapat menyiapkan nya secepat yang mungkin.

Jemput lah melawat ke : http://www.tamanlangatceria.com

Selasa, 6 Januari 2009

Hari Asyura @ 10 Muharram @ 7/1/2009

Sedikit ingatan dan pedoman kepada warga TLC yang muslim dan ilmu kepada yang bukan muslim.

-----------------------------------------------------------------

Muharram Menjelang Lagi

Dalam bulan Muharram hari yang paling bertuah ialah hari ke-10 atau lebih dikenali dengan nama Hari Asyura'. Pada hari tersebut kita disunatkan berpuasa.

Malah dalam mazhab Imam Hanafi puasa hari ke-10 dalam bulan Muharram ini adalah satu-satunya fardhu puasa yang pertama sebelum difardhukan puasa bulan Ramadhan.

Hadith daripada Aisyah: "Sesiapa ingin berpuasa (sunat 10 Muharram) maka bolehlah dia berpuasa. Dan sesiapa yang tak ingin berpuasa maka boleh dia tinggalkan". Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Malah dalam sebuah hadith riwayat Muslim Nabi berpuasa pada 10 Muharram kerana pada hari tersebut diselamatkan Nabi Musa a.s daripada lemas dan juga daripada buruan Firaun.

KELEBIHAN

Baginda bersabda: "Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya". Riwayat Muslim.

BEZAKAN PUASA DENGAN ORANG YAHUDI

Oleh kerana orang Yahudi juga berpuasa pada 10 Muharram maka disunatkan umat Islam berpuasa sejak 9 Muharram lagi bagi membezakan dengan puasa orang Yahudi. Hadith ini dikhabarkan oleh Ibnu Abbas dalam sebuah hadith riwayat Muslim dan Abu Daud.

Atau kalau tidak dapat dikerjakan pada 9 Muharram maka boleh juga digandingkan 10 Muharram dengan 11 Muharram.

SEJARAH 10 MUHARRAM

Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub bahawa pada tarikh tersebut:

(1) Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala'.
(2) Diterima taubat Nabi Adam a.s.
(3) Dicipta Adam a.s.
(4) Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
(5) Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
(6) Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
(7) Selamat Nabi Ibrahin daripada api Namrud.
(8) Selamat Musa dan pengikutnya.
(9) Lemas Firaun.
(10) Dilahirkan Nabi Isa a.s.
(11) Diangkat Nabi Isa kelangit.
(12) Diangkat Nabi Idris ke langit.
(13) Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
(14) Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
(15) Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
(16) Nabi Ya'kub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
(17) Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
(18) Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
(19) Hujan yang pertama turun dari langit kebumi.



Semoga anda dan keluarga sentiasa dalam kesejahteraanNya.

14 Perkara Yang Sunat Dilakukan Pada Hari Asyura (10 Muharram, bersamaan Rabu, 7 Jan 2009)

1. Melapangkan masa / belanja anak-isteri
Fadhilat - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.

2. Memuliakan Fakir Miskin
Fadhilat - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.

3. Menahan Marah
Fadhilat - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang ridha.

4. Menunjukkan Orang Sesat
Fadhilat Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.

5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim
Fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.

6. Bersedekah
Fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

7. Memelihara kehormatan diri
Fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.

8. Mandi Sunat
Fadhilat - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu.
Lafaz niat : "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala!"

9. Bercelak
Fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu.

10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali
Fadhilat - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti.

11. Sembahyang sunat empat rakaat
Fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya.
Lafaz niat : "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala". Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.

12. Puasa
Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala"
Fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali
syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Semoga Bermanfaat Dan Dapat Dipanjangkan (Disampaikan) Kepada Yang Lain-Lain.

Jumaat, 2 Januari 2009

Hijrah dan Masehi

A'kum dan Salam Sejahtera,

Bersempena dengan kehadiran tahun baru Masehi kepada semua warga TLC dan juga tahun baru Hijrah kepada yang muslim saya menyeru semua warga TLC untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara kita dan membaiki segala kelemahan dan kesilapan yang mungkin secara sengaja dan tidak sengaja telah dilakukan sepanjang tahun lepas.

Diharap tahun baru ini dapat memberikan sinar kepada kita semua.


Ceria dan Baik Prasangka Selalu.

Mesyuarat AJK PPTLC v2

Semua AJK PPTLC diminta hadir ke satu mesyuarat AJK yang akan diadakan seperti dibawah:

Tarikh : 04 Januari 2009
Masa : 9 Malam
Tempat : Hadapan rumah En.Nik Zuhailan

Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan amat diperlukan bagi membincangkan arah, tujuan dan matlamat PPTLC pada tahun 2009.


Kemaskini


Mesyuarat telah berjaya dijalankan dengan jayanya. Perkara-perkara penting dan tindakan-tindakan yang sewajarnya telah dibincangkan dan dirancangkan. Antara perkara yang dibincangkan adalah

- kaedah untuk menstabilkan kewangan PPTLC
- cadangan untuk mengadakan mesyuarat tahunan PPTLC
- penyenggaraan TLC
- dan lain lain.

Di akhir mesyuarat, AJK telah bersetuju untuk mengadakan mesyuarat seterusnya dalam jangka masa sebulan bagi membincangkan status tindakan yang dilaksanakan.

Berikut adalah beberapa gambar aksi-aksi perdebatan hangat AJK PPTLC :