Ahad, 29 November 2009

28 November 2009 - Ibadah Korban 1430 Hijrah


Tahun ini saya menyambut Hari Raya Haji/Korban/AidilAdha di Hulu Langat. Di Malaysia, Aidiladha disambut pada hari Jumaat iaitu 27 Nov manakala mengikut kebiasaan di Mekah, Aidiladha disambut awal sehari. Memandangkan Aidiladha jatuh pada hari Jumaat, maka ibadah korban kebanyakkannya dilakukan pada hari Sabtu untuk memberi ruang masa yang lebih kerana hari Jumaat masih perlu untuk menunaikan Solat Jumaat.

Kami, PPTLC adalah kariah bagi Madrasah Muizzah, Bukit Raya. Ibadah korban diuruskan oleh jawatankuasa madrasah. Tahun ini sebanyak 9 ekor lembu telah dijadikan korban dan dibahagi-bahagikan kepada kariah Madrasah Muizzah dan penduduk sekitar Bukit Raya.

Aktiviti dimulakan seawal 8 pagi Sabtu ke tempat lembu-lembu korban di letakkan. Persiapan seperti tali, mengorek lubang dan mencari kayu mengambil masa lebih kurang sejam. Secara keseluruhannya penyembelihan dan melapah mengambil masa lebih kurang 2 jam lebih.

Bahagian lembu yang telah siap dilapah dibawa ke Madrasah Muizzah untuk diasingkan daging dan tulang kemudiannya dibahagikan kepada bahagian-bahagian kecil untuk diagih-agihkan kepada penduduk setempat.





Pihak madrasah turut menyediakan makanan dan minuman untuk kariah yang terlibat dengan ibadah korban. Wakil wanita PPTLC yang diketuai oleh Mak Ngah pula telah memasak sebahagian daging dan tulang untuk makanan tengah hari. Masakan yang disediakan adalah sup tulang dan asam pedas daging.

Ibadah korban tahun ini selesai lebih kurang pada pukul 3 petang selepas membersihkan madrasah. Diharap ibadah korban ini akan memberikan iktibar kepada kariah Madrasah Muizzah masih banyak pengorbanan perlu dilakukan untuk agama, bangsa dan negara.

Takbir.





Rabu, 11 November 2009

11 November 2009 - Bantahan Pasang Kabel Bervoltan Tinggi



ada satu lagi review ahad lepas dalam Mingguan Metro, lupa nak ambik gambar. Tapi artikelnye ada kat bawah nie :
--------------------------------------------------------

Pencawang dekat rumah

Oleh MUHD IZAWAN BAHARIN
izawan@hmetro.com.my


KAJANG: Taklimat Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada penduduk Taman Langat Ceria (TLC) untuk menjelaskan mengenai pembinaan pencawang elektrik bervoltan tinggi berhampiran kawasan perumahan itu di Dewan Dato' Nazir Ulu Langat, di sini, semalam, bertukar menjadi sesi luahan tidak puas hati orang ramai.

Penduduk tidak puas hati kerana pembinaan pencawang terlalu hampir dengan rumah, iaitu pada jarak 43 meter yang boleh memberi kesan jangka panjang terhadap keselamatan serta keselesaan mereka.

Mereka juga tidak berpuas hati kerana tidak dimaklumkan terlebih dulu daripada mana-mana pihak, termasuk pemaju dan TNB mengenai projek pembinaan itu sebelum menduduki kediaman yang berharga antara RM260,000 hingga RM650,000.

Setiausaha Persatuan Penduduk TLC, Shahrizan Muhamad Kasim, 37, berkata mereka hanya menyedari mengenai projek itu selepas mengambil inisiatif sendiri bertanya kepada pekerja di situ.

“Sejak awal tahun lalu, kami dapati kawasan bersebelahan taman yang terletak kira-kira 200 meter dari sebuah sekolah berhampiran dibersihkan. Kami tertanya-tanya untuk apa sehinggalah diberitahu pekerja di situ, mereka mahu membina pencawang elektrik,” katanya yang ditemui, semalam.

Menurutnya, penduduk kemudian menghantar surat pada 1 Mei lalu memohon penjelasan TNB dan menerima jawapan hujung bulan itu seterusnya sesi taklimat semalam.

“Sesi taklimat ini bagaimanapun gagal memuaskan hati penduduk yang mahu pencawang itu dianjakkan jauh sedikit atau memasang kabel bawah tanah kerana ia terlalu hampir dengan kawasan perumahan,” katanya.

Disebabkan tidak berpuas hati dengan penjelasan TNB melalui taklimat itu, Shahrizan berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

“Dalam pertemuan tadi, TNB berjanji akan membawa isu ini ke pengetahuan pihak atasan mereka, jadi kami akan lihat keputusannya sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Penduduk, Azhari Yaacob, 39, berkata penduduk bukan menentang pembangunan tetapi mempersoalkan kenapa ia dibina terlalu dekat dengan kediaman.

“Saya membeli rumah di sini kerana mahu lari dari kesibukan kota tetapi malangnya keselesaan dan keselamatan yang saya impikan untuk keluarga diancam dengan pembinaan pencawang terlalu hampir dengan kediaman.

“Mereka membina terlebih dulu sebelum memberitahu kami, kenapa mereka tidak mengadakan perbincangan sebelum memulakan projek itu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Basri Ahmad, 37, berkata dia amat kecewa kerana ketika sesi taklimat itu dilakukan, kerja pembinaan turut berjalan pada masa sama.

“Buat apa kami berdebat di sini, sedangkan di tapak berkenaan kerja pembinaan giat dilakukan. Mereka sepatutnya menghentikannya buat sementara waktu,” katanya.

Sementara itu, seorang wakil TNB ketika memberi penjelasan kepada penduduk dalam sesi taklimat itu, berkata pembinaan pencawang itu menepati kehendak spesifikasi jarak yang selamat.

“Talian penghantaran ini terpaksa melalui kawasan perumahan kerana ia akan disambungkan kepada pencawang besar di Salak Selatan terus ke Taman Mahkota Cheras dan disambung ke Dengkil,” katanya.

Isnin, 2 November 2009

31 Oktober 2009 - High Tension Cable TNB

Taman Langat Ceria akan diceriakan lagi dengan tiang-tiang dan high tension cable yang akan disumbangkan oleh pihak TNB tidak lama lagi.

Ini bukan perkara yang baik untuk penduduk TLC walaupun tuan TNB membina tower dan high tension cable adalah untuk kebaikan seluruh penduduk lembah kelang. Untuk penjelasan lanjut apa dia high tension cable dan kesannya kepada hidupan yang hampir dengan kawasannya boleh la dicari menguna enjin carian Google atau kalau mahukan jawapan yang lebih spesifik untuk TNB boleh la gunakan kata kunci seperti "high tension cable tnb".

Pihak PPTLC telah mengambil langkah awal, seawal pengetahuan kami mengenai kewujudan projek ini. PPTLC telah menghantar surat kepada TNB untuk memohon penjelasan dan salinannya kepada jabatan lain seperti jabatan alam sekitar, pejabat menteri berkaitan dan juga kepada wakil rakyat dan pemimpin tempatan. Pihak TNB telah membalas surat tersebut dengan beberapa penerangan umum dan beberapa cadangan kepada PPTLC.

Hasilnya, satu majlis soal jawab bersama TNB akan diadakan pada 7 November 2009 bertempat di Dewan Orang Ramai Batu 14. Kepada warga TLC yang berkelapangan dijemput untuk bersama-sama ke majlis tersebut. Berikut adalah gambar kawasan dan kerja-kerja yang sedang dijalankan.



Berikut pula adalah gambar tambahan menunjukkan kawasan bagi projek Penyaluran Air Mentah Pahang Selangor (PPAMPS).