Tahun ini saya menyambut Hari Raya Haji/Korban/AidilAdha di Hulu Langat. Di Malaysia, Aidiladha disambut pada hari Jumaat iaitu 27 Nov manakala mengikut kebiasaan di Mekah, Aidiladha disambut awal sehari. Memandangkan Aidiladha jatuh pada hari Jumaat, maka ibadah korban kebanyakkannya dilakukan pada hari Sabtu untuk memberi ruang masa yang lebih kerana hari Jumaat masih perlu untuk menunaikan Solat Jumaat.
Kami, PPTLC adalah kariah bagi Madrasah Muizzah, Bukit Raya. Ibadah korban diuruskan oleh jawatankuasa madrasah. Tahun ini sebanyak 9 ekor lembu telah dijadikan korban dan dibahagi-bahagikan kepada kariah Madrasah Muizzah dan penduduk sekitar Bukit Raya.
Aktiviti dimulakan seawal 8 pagi Sabtu ke tempat lembu-lembu korban di letakkan. Persiapan seperti tali, mengorek lubang dan mencari kayu mengambil masa lebih kurang sejam. Secara keseluruhannya penyembelihan dan melapah mengambil masa lebih kurang 2 jam lebih.
Bahagian lembu yang telah siap dilapah dibawa ke Madrasah Muizzah untuk diasingkan daging dan tulang kemudiannya dibahagikan kepada bahagian-bahagian kecil untuk diagih-agihkan kepada penduduk setempat.

Pihak madrasah turut menyediakan makanan dan minuman untuk kariah yang terlibat dengan ibadah korban. Wakil wanita PPTLC yang diketuai oleh Mak Ngah pula telah memasak sebahagian daging dan tulang untuk makanan tengah hari. Masakan yang disediakan adalah sup tulang dan asam pedas daging.
Ibadah korban tahun ini selesai lebih kurang pada pukul 3 petang selepas membersihkan madrasah. Diharap ibadah korban ini akan memberikan iktibar kepada kariah Madrasah Muizzah masih banyak pengorbanan perlu dilakukan untuk agama, bangsa dan negara.
Takbir.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan